Malaysia kini di era millenium mengalami pembangunan yang pesat dari segi infrastruktur sama ada di dalam dan luar bandar. Kepesatan ini telah melibatkan pelbagai sektor kerajaan dan swasta yang mana telah mengambil peranan dalam pembentukan dan pencapaian wawasan 2020 yang di laungkan oleh bekas perdana menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Dalam menuju ambang kemajuan dan kepesatan ini kerajaan telah merancang dan mengambil langkah dengan merubah dasar negara dengan dikaji mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan hasil dari perkembangan intelektual masyarakat yang celik ilmu dan ICT disamping melahirkan tenaga kerja yang produktif, kritis dan inovatif dalam menghadapi alaf baru wawasan 2020.
Falsafah pendidikan yang menekankan perkembangan potensi individu dari segi JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosialnya telah mengilhamkan kerajaan untuk mewujudkan sekolah bestari yang lengkap dengan teknologi terkini hasil aplikasi perdana koridor raya multimedia bagi memperbaiki sistem pendidikan yang sedia ada agar dapat melahirkan masyarakat yang berdaya maju dan produktif dalam menghadapi cabaran alaf baru.
Pada tahun 1999, kerajaan telah mewujudkan sekolah bestari melalui projek rintis "pilot school" sebanyak 87 buah sekolah yang melibatkan 35 buah sekolah di luar bandar dan 52 sekolah yang di bandar yang terdiri dari sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara. Sekolah Bestari yang diwujudkan adalah untuk mencapai matlamat negara dan membantu pelajar menghadapi era teknologi maklumat melalui pembekalan ICT ke sekolah, keupayaan guru mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dan pentadbir sekolah berupaya menggunakan sistem pengurusan berkomputer untuk meningkatkan proses pentadbiran sekolah.